Isnin, 17 Ogos 2009

Kecerdasan Spiritual Menurut Islam

Apakah pandangan Islam mengenai kecerdasan spiritual ini? Adakah ianya selari dengan definisi Barat? Adakah ianya bermaksud mencari erti kehidupan? Sebelum kita pergi mengulas lebih lanjut mengenai kecerdasan spiritual ini, mari kita lihat apakah hakikat manusia. Siapakah manusia? Apakah tujuan manusia itu dilahirkan? Mengapa manusia diciptakan? Persoalan-persoalan ini wajar kita ketahui dan ini akhirnya akan memahamkan kita bahawa kita ini dilahirkan di muka bumi ini penuh dengan tujuan.

Manusia adalah makhuk yang dimuliakan kerana ia diciptakan amat berbeza dengan makhluk yang lain seperti haiwan dan tumbuhan, malah alam raya. Manusia mempunyai tugas yang penting di dunia ini. Apakah tugas itu? Mengurus serta memelihara alam ini agar tidak musnah. Manusia adalah makhluk yang bebas membuat pilihan. Mereka berpotensi untuk melakukan apa sahaja berdasarkan pilihan mereka. Mereka boleh melakukan perkara kebaikan malah keburukan kerana ia merupakan pilihan manusia. Akhir sekali, manusia adalah makhluk yang harus bertanggungjawab di atas apa yang dilakukannya. Oleh kerana manusia adalah makhluk yang bebas membuat pilihan, maka setiap pilihan itu wajar di ambil tindakan dan tanggungjawab. Setiap pilihan, manusia harus bertanggungjawab.

Perspektif Islam mengenai spiritual ini adalah merujuk kepada satu perkara iaitu ibadah. Al-Quran ada menyatakan bahawa ’Tidaklah Aku ciptakan Jin dan manusia itu melainkan beribadah kepadaKu’ [51:56]. Tafsir ayat ini menunjukkan bahawa, manusia dan jin adalah mutlak beribadah kepada Tuhan.

Jika kita melihat aspek beribadah ini, apakah yang maksud sebenar beribadah?

Satu riwayat oleh Imam Ahmad dari Abu Hurairah, Muhammad s.a.w. ada mengatakan bahawa

’ Allah Azza Wa Jalla berfirman, ’ Hai anak Adam, luangkanlah waktu untuk beribadah kepada-Ku, Aku akan memenuhi hatimu dengan kekayaan dan Aku akan menutupi kemelaratanmu. Dan bila kamu tidak melakukannya, maka Aku akan mengisi hatimu dengan kesibukan dan Aku tidak akan menutupi kemelaratanmu ’

Adakah ibadah itu hanyalah untuk menutup kemelaratan hidup ini? Jawapannya ialah ya. Manusia hidup di dunia ini adalah disertai dengan cabaran dan ujian. Sudah pasti setiap ujian dan cabaran itu mempunyai kepayahan yang tersendiri. Persoalannya kini, bagaimana manusia menghadapi segala bentuk ujian tersebut? Adakah mereka menyelesaikan masalah mereka dengan keupayaan fizikal mereka (PQ) ? atau emosi (EQ) ? atau intelek mereka (IQ)?


Kisah Pakcik Ishak Md Zain

Semasa saya menulis buku ini, saya terbaca di dalam satu akhbar tentang kisah seorang lelaki tua tabah mengharungi hidupnya bersama-sama dengan isterinya yang sedang koma hampir 5 tahun. Saya kira, pengalaman ini adalah satu pengalaman yang mana manusia menyelesaikan masalah yang dihadapinya dengan melihat kepada potensi spiritual.

Terdapat seorang pesara yang bernama Ishak Md Zain yang berumur 68 tahun begitu tabah menjaga isterinya. Jika mengikut kadar perkiraan manusia biasa, pengalaman mengalami koma selama 5 tahun, agak sukar untuk pulih, apatah lagi umurnya sudah menjangkau 60-an. Tatapi semangat dan kekuatan dalaman pakcik Ishak yang sanggup menghadapi kehidupan dengan sabar menemani isterinya di hospital tidak pernah luntur. Pakcik Ishak senantiasa berdoa dan berhadap kepada keajaiban kuasa Tuhan untuk mengubah keadaan. Pakcik Ishak telah mengorbankan hidupnya untuk menemani isterinya yang tidak bergerak selama 5 tahun dengan sepenuh tumpuan, malah pakcik Ishak tidak pernah ke mana-mana dalam tempoh tersebut.

Pakcik Ishak mempunyai harapan yang luar biasa untuk melihat keadaan isterinya pulih seperti sedia kala. Tetapi beliau tahu ianya tidak akan berlaku kerana isterinya sudah tua, tidak mampu untuk melawan penyakitnya. Siang dan malam pakcik Ishak berdoa kepada Tuhan agar dapat memulihkan isterinya agar kembali beribadah kepada Tuhannya seperti biasa.

(boleh rujuk Mingguan Malaysia, 25 Februari 2007)

Apakah pengajaran dari peristiwa pakcik Ishak? Saya yakin, terdapat satu potensi yang sedang digunakan oleh pakcik Ishak agar suara hatinya itu di dengari oleh Tuhan.

Persoalan saya, mengapa ada suara hati yang berbisik di dalam hati pakcik Ishak, menaruh harapan kepada seseorang? Kepada siapakah suara hati itu di tujukan pada ketika mana, tidak ada lagi ikhtiar dalam aspek fizikal (PQ), emosi (EQ) dan intelek (IQ)? Pakcik Ishak dan pakar doktor telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan isteri pakcik Ishak. Para doktor mempunyai potensi IQ yang tinggi, malah mereka mempunyai kehebatan alat-alat perubatan yang canggih (PQ). Namun yang demikian, isteri pakcik Ishak masih lagi tidak bergerak.

Kepada siapakah atau potensi yang mana satukah yang pakcik Ishak gunakan pada ketika PQ, IQ dan EQ tidak dapat membantu pakcik Ishak?

Sudah pasti anda akan mengatakan potesi suara itu ditujukan kepada Tuhan Yang Menciptakannya (spiritual quotient).

Kecerdasan spiritual di dalam kacamata Islam adalah merujuk kepada konsep kehambaan kepada Tuhan yang menciptakan. Mereka yakin terhadap pertolongan Tuhan mereka pada setiap masa. Malah mereka melakukan setiap perkara itu adalah dalam keadaan beribadah setiap masa dan tidak ada perkara yang dirasainya itu membebankan mereka.

Istilah redha atau rela menjadi satu ukuran yang tinggi dalam penilaian spiritual seorang manusia yang yakin dengan Tuhannya. Mereka menerima semua perkara yang berlaku di dalam kehidupan mereka ini sebagai satu ujian untuk mereka terus bangkit dengan satu kekuatan yang amat luar biasa. Kekuatan potensi spiritual adalah berbeza dengan potensi fizikal, emosi dan intelek, kerana potensi spiritual adalah jambatan kepada Tuhan.


Kecerdasan Spiritual Universal

Potensi spiritual ada di dalam setiap diri manusia. Malah manusia yang ada mengatakan bahawa dirinya tidak yakin dengan kewujudan Tuhan sebenarnya mereka sedang menipu diri mereka. Mereka pasti mempunyai nilai kehendak yang tidak dapat dicapai melalui potensi PQ, EQ dan IQ mereka.

Apakah yang membezakan makna spiritual di antara Barat dan Islam?

Perbezaan itu adalah

Barat

* Inner voice
* Unconsience

Islam

* Iman
* Taqwa

Persoalan akhir untuk anda. ADAKAH ANDA MEMPUNYAI SEMUA POTENSI INI DI DALAM DIRI ANDA?

Written by Syamil Yusuff
Monday, 26 February 2007

Tiada ulasan:

Catat Ulasan